Sunday, June 19

cerita-cerita menarik dan kelakar

Cerita 1:
Arman, Latif dan Tahir berbincang tentang kehebatan ayah masing-masing. Ketiga-tiga mereka tidak mahu mengalah.”Ayah aku boleh berlari sepantas anak panah. Kalau anak panah dilepaskan bersamanya dia boleh sampai dulu sebelum anak panah mengenai sasaran,” kata Arman.
”Ah, itu belum cukup hebat! Father I seorang pemburu yang sangat pantas berlari. Dia boleh menangkap peluru yang ditembak dari senapangnya sendiri,” kata Latif.
”Sebenarnya kau orang semuanya tak tahu apa yang dikatakan pantas. Ayah aku kakitangan kerajaan, dia habis kerja pukul 4.30 petang, tapi pukul 3.45 dia dah ada di rumah. Itulah kepantasan luar biasa,” kata Tahir bangga.
_____________________________________________________________________________________
 Cerita 2:
 SUATU petang Misha meluahkan masalahnya kepada sahabat baiknya, Johan.
Misha : Sejak kebelakangan ni, aku sering diintai seseorang ketika mandi di  perigi.
Johan : Habis, apa tindakan awak?
 Misha : Semalam aku cuba satu petua. Aku masukkan ranting-ranting tajam  pada celah-celah dinding. Anehnya, semalam dia tak datang, kalau tak,  pasti buta matanya.
 Johan : Oh, Mujur semalam aku kerja!!!
_____________________________________________________________________________________
 Cerita 3:
 ”SAYA bangga dengan atuk,” kata Farah.
”Apa yang kamu banggakan sangat tu?” tanya atuk.
”Setiap kali bersin, atuk mesti tutup mulut dengan tangan,” kata Farah.
”Tentulah..! Siapa lagi yang boleh diharap untuk mengutip gigi palsu atuk kalau tersembur keluar.”
_____________________________________________________________________________________
 Cerita 4:
 SEORANG ahli biologi sedang mengkaji kebolehan katak puru melompat. Dia melepaskan seekor di dalam makmalnya, dan menyergah katak itu supaya ia melompat. Sepantas kilat katak itu melompat. Kemudian dia mencatat dalam bukunya. ”Katak dengan empat kaki mampu melompat sejauh 160 sentimeter.”
Kemudian dia memotong kaki depan katak itu, lalu menyergahnya. ”Lompat! Lompat! Lompat!!! Bersusah payah katak itu melompat. Jarak lompatannya begitu pendek. Selepas mengukurnya, ahli biologi itu mencatat di dalam bukunya. ”Katak dengan dua kaki hanya melompat 60 sentimeter.”
Kemudian dia memotong kaki belakang katak. Sekali lagi dia menjerit ”Lompat! Katak lompat!!” Tapi katak itu tidak bergerak langsung. Dia terus menjerit, ”Lompat, lompat, lompat!! Namun tidak ada perubahan.
Lalu ahli biologi itu mencatatkan di dalam bukunya, ”Katak tanpa kaki, hilang pendengaran.”
_______________________________________________________________________________________
Cerita 5:
 SEBELUM ke Eropah untuk urusan perniagaan, Ahmad singgah di sebuah bank di ibu kota bagi mendapatkan pinjaman segera RM10,000.
”Encik, pinjaman ini perlukan cagaran. Apa yang encik nak cagarkan?” Tanya eksekutif pinjaman.
”Kereta Rolls-Royce saya. Ini Kuncinya,” kata Ahmad.
Setelah menandatangani surat perjanjian, eksekutif pinjaman memandu kereta Rolls-Royce itu ke kawasan tempat letak kereta bank di bawah tanah. Kemudian dia menyerahkan RM10,000 kepada Ahmad. Dua minggu kemudian, Ahmad kembali dari Eropah dan terus ke bank untuk melangsaikan pinjaman serta mengambil keretanya semula.
”Pinjaman encik keseluruhannya RM10,000 dan bunganya RM30.80,” kata eksekutif pinjaman. Ahmad menyerahkan sekeping cek kepada eksekutif pinjaman itu.
”Setahu saya, encik jutawan terkaya di Kuala Lumpur. Mengapa perlu meminjam RM10,000 dari bank?” eksekutif itu bertanya.
Ahmad berpaling dan tersenyum. ”Mana ada tempat yang selamat dan murah untuk meletakkan kereta di Kuala Lumpur. Hanya RM30.80 untuk dua minggu,” jawabnya.
_____________________________________________________________________________________
 Cerita 6:
 SEBAIK mengambil tempat duduk di ruang menunggu sebuah klinik, Shan terpandang Farid sedang menangis teresak-esak. Dia segera mendekati Farid.
Shan  : Kenapa menangis?
Farid  : Saya datang untuk ujian darah.
 Shan  : Awak takut ke?
 Farid  : Bukan itu sebabnya. Semasa ujian darah dijalankan, mereka telah memotong jari saya.
                Mendengar penjelasan Farid, Shan menangis.
 Farid  : Eh, kenapa pula awak menangis?
 Shan  : Saya datang untuk ujian air kencing… _____________________________________________________________________________________
 Cerita 7:
 PETANG itu, Ferhad bertemu rakan sekerjanya – seorang warga asing. Semasa minum-minum, lelaki asing itu nampak terlalu gembira. Wajahnya berseri-seri. Melihat keadaan itu, Ferhad bertanya.
Ferhad         : Awak nampak gembira malam ni.
Warga Asing : Betul!  Saya sangat gembira, dapat ini surat (menunjukkan sampul yang berwarna merah itu).
Ferhad         : Siapa kasi?
Warga Asing : Saya punya bini.
Ferhad         : Apa dia cakap?
Warga Asing : Dia cakap dia mahu beranak hujung bulan ini.
Ferhad         : Wah! Tahniah… awak mesti balik cepat.
Warga Asing : Yalahhhh…. Saya ingatpun itu macam. Dia mesti tunggu punya, sudah tiga tahun saya tarak balik, banyak lama tarak jumpa saya  punya bini.
_____________________________________________________________________________________
 Cerita 8:
 KASIHANKAN ibu mereka yang kerap mengalih-alihkan muka surat khabar setiap sekali  membaca, anak-anak membawa wanita tua itu ke optometri untuk pemeriksaan dan menempah sepasang cermin mata.
Seminggu kemudian, kali pertama memakai cermin mata, bergaya sungguh wanita itu.
Tiba-tiba, anak-anak terkejut melihat emak mereka mencampakkan akhbar hari itu selepas menatapnya beberapa ketika. Kemudian terdengar emak merungut, ”Bila aku pakai cermin mata, mereka cetak huruf besar-besar. Dulu buat kecik-kecik. Menyusahkan orang saja!”
Anak-anak hanya ketawa dalam hati.
_____________________________________________________________________________________
Cerita 9:
SEORANG lelaki menempah kek hari jadi melalui telefon bagi meraikan ulang tahun kelahiran isterinya yang ke-48.
Pembantu kedai      : Apa yang saya harus tulis pada kek itu encik?
Lelaki                    : Di bahagian atas tulis… ”Sayang tak pernah kelihatan tua,” sementara bahagian        bawah…                               ”sayang  memang cantik!”
 Sebaik kotak kek itu dibuka di hadapan puluhan tetamu malam itu, lelaki tadi jatuh pengsan selepas membaca tulisan pada kek itu yang berbunyi: ”Bahagian atas sayang tak pernah kelihatan tua. Bahagian bawah sayang memang cantik!”
_____________________________________________________________________________________
 Cerita 10:
 Lelaki Malaysia       : Bangunan di negara saya banyak yang tinggi-tinggi. Jika kita merenung ke bawah semasa berada di tingkat paling atas, kereta yang sedang bergerak nampak macam semut.
Lelaki India            : Sana India, dia punya bangunan lagi tinggi. Itu bulan kalau mau pusing dunia, kena ikut lorong yang betul, kalau tak ia sangkut pada bumbung bangunan.
Lelaki Arab             : Ana punya negeri dia punya bangunan lagi tinggi. Kalau seorang bayi jatuh dari tingkat paling atas, apabila ia mencecah bumi, usianya sudah 72 tahun.

10 FAKTA MENARIK

Fakta 1 : Cheetah adalah dari keluarga kucing. Cheetah merupakan haiwan terpantas di muka bumi. Ia boleh berlari selaju 76 kilometer sejam. Sebagai perbandingan, manusia hanya boleh berlari kira-kira 30 kilometer sejam dan kucing hanya 20 kilometer sejam.

Fakta 2 : Tanpa bantuan air liur, kita tidak dapat merasai rasa makanan.

Fakta 3: Otot yang bekerja paling pantas ialah otot di kelopak mata yang membuat kita berkedip. Kita mampu berkedip lima kali sesaat.

Fakta 4: 13% manusia di dunia ini dilahirkan kidal.

Fakta 5: Haiwan yang bergerak paling perlahan di dunia ialah Sloth. Sloth tidak boleh berjalan, berlari atau berdiri. Sloth mengambil masa hampir tiga minggu untuk bergerak sejauh satu kilometer.

Fakta 6: Lembu ialah binatang yang rabun warna. Ia akan mengejar apa-apa sahaja kain yang dikibarkan oleh matador di depannya.

Fakta 7: Paus biru ialah haiwan terbesar di dunia. Hatinya sahaja sebesar sebuah kereta dan lidahnya sepanjang seekor gajah. Namun begitu, paus biru hanya memakan tumbuh-tumbuhan yang sangat kecil termasuklah plankton.

Fakta 8: Kita akan menjerit serta merta apabila terkena benda panas atau luka kerana saraf yang membawa maklumat rasa sakit bergerak ke otak  dengan kelajuan 120 meter sesaat.

Fakta 9 : Setiap hari jantung mengepam darah seperti melakukan kerja mengangkat satu tan barang ke tingkat lima.

Fakta 10 : Sehelai rambut walaupun halus mampu mengangkat berat sebanyak tiga kilogram.

11 golongan manusia didoa Malaikat

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.
Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat.  Ketika itulah sewaktu kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.
Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. 
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat. 
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah. 
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf). 
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”

5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah. 
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat. 
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.
“Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?”
Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’”

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’”

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’ ”

10. Orang yang sedang makan sahur.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. WAllahu’alam.Semoga kita termasuk dan tersenarai sama. InsyaAllah