Sunday, June 19

10 FAKTA MENARIK

Fakta 1 : Cheetah adalah dari keluarga kucing. Cheetah merupakan haiwan terpantas di muka bumi. Ia boleh berlari selaju 76 kilometer sejam. Sebagai perbandingan, manusia hanya boleh berlari kira-kira 30 kilometer sejam dan kucing hanya 20 kilometer sejam.

Fakta 2 : Tanpa bantuan air liur, kita tidak dapat merasai rasa makanan.

Fakta 3: Otot yang bekerja paling pantas ialah otot di kelopak mata yang membuat kita berkedip. Kita mampu berkedip lima kali sesaat.

Fakta 4: 13% manusia di dunia ini dilahirkan kidal.

Fakta 5: Haiwan yang bergerak paling perlahan di dunia ialah Sloth. Sloth tidak boleh berjalan, berlari atau berdiri. Sloth mengambil masa hampir tiga minggu untuk bergerak sejauh satu kilometer.

Fakta 6: Lembu ialah binatang yang rabun warna. Ia akan mengejar apa-apa sahaja kain yang dikibarkan oleh matador di depannya.

Fakta 7: Paus biru ialah haiwan terbesar di dunia. Hatinya sahaja sebesar sebuah kereta dan lidahnya sepanjang seekor gajah. Namun begitu, paus biru hanya memakan tumbuh-tumbuhan yang sangat kecil termasuklah plankton.

Fakta 8: Kita akan menjerit serta merta apabila terkena benda panas atau luka kerana saraf yang membawa maklumat rasa sakit bergerak ke otak  dengan kelajuan 120 meter sesaat.

Fakta 9 : Setiap hari jantung mengepam darah seperti melakukan kerja mengangkat satu tan barang ke tingkat lima.

Fakta 10 : Sehelai rambut walaupun halus mampu mengangkat berat sebanyak tiga kilogram.

11 golongan manusia didoa Malaikat

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.
Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat.  Ketika itulah sewaktu kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.
Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. 
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat. 
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah. 
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf). 
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”

5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah. 
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat. 
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.
“Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?”
Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’”

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’”

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’ ”

10. Orang yang sedang makan sahur.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. WAllahu’alam.Semoga kita termasuk dan tersenarai sama. InsyaAllah

Wednesday, May 25

Cinta Sang Marikh & Sang Zuhrah

Secara analoginya, lelaki berasal dari planet Marikh, manakala wanita pula berasal dari planet Zuhrah. Sebelum ini mereka hidup dalam puak masing-masing. Mereka ditakdir berjumpa dan akhirnya jatuh cinta antara satu sama lain. Tarikan yang wujud dan kepercayaan bahawa mereka mampu bahagia telah membuatkan pasangan ini mengambil keputusan untuk hidup bersama.
Mereka kemudiannya mula hidup sebagai pasangan dan membina kehidupan yang bahagia di bumi. Sedikit demi sedikit mereka berusaha membina keluarga bahagia yang diingini. Setelah menetap lama di bumi, mereka mula melupakan asal-usul kisah sendiri. Mereka lupa bahawa mereka sebenarnya berbeza antara satu sama lain. Mereka adalah berlainan sejak awalnya kerana datang dari planet yang berbeza. Perkara ini seterusnya mencipta konflik. Mereka beranggapan bahawa mereka adalah sama satu sama lain. Namun begitu yang pasti, tanggapan mereka salah.
Sang Marikh mahu dirinya difahami. Tetapi bahasa cinta ini tidak dapat difahami oleh Sang Zuhrah. Sang Marikh cuba menjauhkan diri untuk mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah. Kelakuan yang dilakukan oleh Sang Marikh membuatkan Sang Zuhrah menyangka bahawa pasangannya telah berubah. Begitu juga yang berlaku pada Sang Zuhrah. Kod yang ada padanya membuatkan dia mahu selalu ditemani. Dia mahu Sang Marikh sentiasa bersamanya. Namun begitu, Sang Marikh bertindak membiarkannya keseorangan apabila sesuatu masalah berlaku. Sang Marikh percaya bahawa dengan membiarkan Sang Zuhrah untuk sementara waktu akan memberi ruang dan kelegaan kepadanya. Tetapi anggapan Sang Marikh silap!
Jangan Lupa Perbezaan Kita!
Kita selalu membuat kesilapan bahawa cara pasangan kita berfikir, bertindak adalah sama seperti kita. Kita menyangka bahawa cara mereka bercinta adalah sama seperti kita bercinta. Kesannya, apabila pasangan kita melakukan sesuatu tabiat yang berlainan dengan tabiat 'normal', membuatkan kita berfikir bahawa terdapatnya masalah dalam hubungan itu. Sebenarnya adalah tidak!
Bahasa cinta Sang Zuhrah adalah tidak sama dengan Sang Marikh. Sang Marikh merupakan seorang yang suka menyendiri apabila terdapat masalah. Apa yang diperlukannya adalah ruang untuk berfikir sebelum kembali kepada Sang Zuhrah berbanding Sang Marikh. Dia mahu ada orang di sisi untuk membelainya dalam proses memenuhi kod emosinya.
Tetapi, disebabkan kegagalan untuk memahami bahasa cinta yang berlainan, mencetuskan konflik. Sang Marikh sentiasa menyalahkan Sang Zuhrah kerana tidak memberi ruang padanya. Sang Zuhrah pula menyalahi Sang Marikh kerana Sang Marikh sering tidak ada dan meminggirkannya. Pergaduhan berlaku dan akhirnya berlaku kes lebih teruk lagi iaitu perpisahan. Hal ini gara-gara Sang Zuhrah dan Sang Marikh lupa pada asal usul pasangan dan diri mereka. Mereka menganggap diri mereka  adalah sama tetapi sebenarnya  berbeza disebabkan datang daripada planet yang berlainan.
Kesimpulannya, jangan dilupakan perbezaan yang ada pada diri. Kita adalah unik dan sudah tentu cara pemikiran adalah berbeza. Namun begitu, ianya dapat difahami dengan memahami bahasa cinta pasangan. Satu nasihat yang dikongsi oleh John Gray adalah sentiasa mengingati kita adalah berbeza.
Artikel iLuvislam.com

Dari Kekasih Buat Kekasih

"Dahulukan mengucap salam, ucapkan selamat dengan senyuman, tumpukan perhatian anda kepada mereka agar anda menjadi orang yang sangat mereka cintai dan dekat dengan mereka."
Kekasihku,
Hari ini aku mengadu pada sang KEKASIH, pencipta kau dan aku. Aku ingin menjadi kekasihmu yang patuh pada sang KEKASIH. Aku mohon pada sang KEKASIH agar ditautkan hatiku dan hatimu agar kita bisa jadi sepasang kekasih yang diredhai sang KEKASIH.
Kekasihku sayang,
Aku ingin menjadi sandaran hatimu. Menenangkan tatkala kau kecewa atau terluka tapi aku tidak mahu kau lupa pada sang KEKASIH kerana aku terlalu kasih pada sang KEKASIH. Aku mahu kau menjadi kekasihku yang hebat tanpa melupakan sang KEKASIH.
Wahai kekasihku,
Aku kekasihmu yang akan berdoa saban waktu agar sang KEKASIH memudahkan perjalanan hidupku dan hidupmu. Aku kekasihmu tapi aku tak mampu membahagiakanmu setiap waktu, lalu aku mohon pada sang KEKASIH agar kekasihku bahagia dan dilimpahi cinta sang KEKASIH.
Kekasihku,
Aku tidak mahu kau jadi kekasih yang lemah. Janganlah kita tunduk pada hawa nafsu. Aku mahu jadi kekasih yang bernilai di mata kekasihku agar diredhai sang KEKASIH. Aku menyayangimu duhai kekasihku!
Wahai Kekasih,
Aku kekasihmu yang terlalu daif. Apa yang ada padaku adalah hak milik sang KEKASIH. Aku ingin jadi kekasihmu yang tahu erti syukur dan aku juga mahu kekasihku selalu bersyukur.
Cinta kerana Allah adalah cinta yang aku cari, kerana cinta kerana-Nya adalah CINTA yang diredhai dan jika cinta tanpa redha ibu bapaku, maka tiadalah redha Ilahi dan aku rela untuk memutuskan hubungan cintaku andai mereka tidak redha dengan cintaku kerana aku perlukan cinta yang diredhai kerana kekasihku lah yang bakal bertakhta dihatiku dan menemaniku hingga ke hujung nyawaku.